Skuad kebangsaan akan menyertai Kejohanan Persahabatan Empat Penjuru pada 22 hingga 25 September ini sebagai persiapan untuk beraksi dalam Piala Asia 2023.
Malah, skuad kendalian Kim Pan-gon akan memulakan sesi latihan berpusat pada 15 hingga 27 September ini.
Satu lagi sesi latihan berpusat akan diadakan pada November kerana skuad negara akan beraksi dalam Piala AFF yang dijadualkan berlangsung 21 Disember hingga 17Januari 2023.
Di peringkat B-23, FAM akan melantik ketua jurulatih pasukan kebangsaan B23 baharu tidak lama lagi.
Namun, FAM menyifatkan, memandangkan pasukan B-23 berkait rapat dengan skuad kebangsaan dari segi faktor umur dan juga pergerakan pemain, Pan-gon turut terlibat dalam pemantuan perancangan dan prestasi pasukan.
Beliau juga akan memberi pandangan beliau dan bekerjasama dengan FAM dalam hal berkaitan dengan pelantikan ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan skuad B-23 baharu.
Bagaimanapun, FAM tidak terburu-buru untuk melantik ketua jurulatih B-23 baharu memandangkan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 25 September 2022 telah ditangguh ke tarikh baharu iaitu 23 September hingga 8 Oktober 2023.
Ini termasuk Sukan SEA di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei, 2023 dan kelayakan Sukan Olimpik yang akan diadakan pada Januari 2024.
Dalam pada itu, FAM memaklumkan, terdapat peningkatan sebanyak 2% kepada 64% bagi perkembangan hala tuju FAM F:30 untuk suku kedua bagi tahun 2022.
Malah, Terdapat kemajuan dalam 3 teras F:30 iaitu dalam Tadbir Urus terdapat peningkatan daripada 62% pada Q1 kepada 64%.
Untuk teras pembangunan, terdapat peningkatan sebanyak 1% kepada 62% manakala terdapat peningkatan 2% kepada 66% untuk teras Pertandingan pada Q2 2022.
FAM akan melaksanakan program khas di bawah Pembangunan Bakat FIFA atau FIFA Talent Development Scheme (TDS) bagi merencanakan laluan kerjaya yang jelas buat bakat muda, khususnya yang berada di luar program NFDP dan sekolah sukan negeri dan Sekolah Sukan Malaysia.
FAM juga akan mengenal pasti dan melatih jurulatih khusus untuk pengenalpastian bakat bagi mencungkil pemain di peringkat Liga Suparimau.
Dalam perkembangan bola sepak wanita, FAM sepatutnya melancarkan Pelan Pembangunan Bolasepak Wanita 2035 pada 14 Mei lalu.
Namun, ia dipinda pada penghujung bulan Oktober sebagai simbolik program berterusan bola sepak wanita dan sebagai pelancaran aktiviti yang lebih aktif dan proaktif pada tahun berikutnya.