Fernando Forestieri muncul wira Johor Darul Ta’zim apabila menjaringkan gol saat akhir ketika mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pencabar terdekat Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Kemenangan dramatik itu amat bermakna buat JDT yang ketinggalan seawal minit ke-18 menerusi tendangan kencang Park Tae-su menewaskan Farizal Marlias.
JDT bagaimanapun menyamakan kedudukan apabila hantaran Arif Aiman berjaya disudahkan oleh Forestieri pada minit ke-25.
Namun, kedua-dua pasukan bergelut untuk menambah sebarang jaringan, meskipun JDT menguasai perlawanan dengan 62 peratus berbanding Sabah dengan hanya 38 peratus.
Malah, JDT mencatatkan 10 percubaan dengan 6 percubaan tepat berbanding Sabah dengan 5 percubaan dan 4 percubaan tepat ke gawang gol.
Bagaimanapun, ketika separuh masa kedua memasuki masa tambahan, JDT dihadiahkan sepakan percuma apabila Leandro Velazquez terjatuh di luar kotak penalti setelah bertembung dengan pertahanan Sabah, Badrul Affendy Mohd Fadzli, sekali gus mengundang kontroversi.
Namun, sepakan Forestieri menghala terus ke arah gawang gol, sebelum bola itu melantun melepasi Khairul Fahmi Che Mat, menjadikan keputusan 2-1 memihak kepada JDT.
Jaringan itu mendiamkan pemain dan peminat Sabah, berbeza dengan pemain JDT termasuk jurulatih Benjamin Mora yang meraikannya dengan penuh teruja.
Kemenangan itu menyaksikan JDT meraih 26 mata selepas 10 perlawanan, manakala Sabah kekal di tangga kedua liga dengan 22 mata selepas 11 perlawanan.