FA Cup Berita

Liverpool julang Piala FA, tewaskan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti

Liverpool menjulang trofi Piala FA buat kali ke-8 dalam sejarah, apabila meraih kemenangan dalam penentuan sepakan penalti 6-5 ke atas Chelsea selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan akhir di Wembley malam tadi.

Ini merupakan piala kedua dimenangi Liverpool musim ini selepas Piala Carabao dan masih berpeluang untuk menjulang trofi Premier League dan Champions League.

Kostas Tsimikas menjaringkan penalti kemenangan, selepas dua pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta dan Mason Mount gagal menyempurnakan sepakan penalti mereka.

Perlawanan berlangsung sengit sepanjang tempoh 120 minit, namun penalti menjadi satu-satunya cara untuk memisahkan mereka.

“Saya amat berbangga dengan pemain saya, perubahan yang mereka lakukan, betapa kerasnya mereka berjuang,” kata Jurgen Klopp kepada BBC Sport.

“Ia adalah permainan yang luar biasa, satu penentuan sepakan penalti yang mencemaskan, habis kuku saya hilang.

“Ia adalah sengit, Chelsea sepatutnya layak memenanginya dengan cara yang sama seperti yang kami lakukan, sama seperti dalam Piala Carabao, begitulah kecilnya beza antara kami.

“Chelsea bermain dengan cemerlang tetapi akhirnya mesti ada seorang pemenang dan itu adalah kami hari ini.”

Thomas Tuchel bagaimanapun tidak terlalu kecewa dengan kekalahan Chelsea di final.

“Seperti pada perlawanan akhir sebelum ini dalam Piala Carabao, tiada penyesalan. Saya memberitahu pasukan saya bahawa saya tetap berbangga.

“Kami bermain 240 minit dalam perlawanan akhir menentang pasukan penyerang paling berbahaya di dunia dan ia 0-0.

“Kami tewas menerusi sepakan penalti dan kami kecewa dan sedih, tetapi pada masa yang sama bangga kerana kami memberikan segalanya.

“Saya pasti semasa perlawanan, momentum menyebelahi kami tetapi malangnya saya tidak betul.”