Liga Super Malaysia Berita

20 pemain dan pegawai Pahang positif Covid-19, 3 perlawanan terpaksa ditunda

Seramai 20 pemain dan pegawai Pahang telah dijangkiti COVID-19, sekali gus terpaksa menunda tiga perlawanan, menurut MFL.

Ini termasuk perlawanan Liga Super 2022 menentang Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang dijadualkan esok.

Dua lagi perlawanan yang ditunda adalah menentang Selangor di Kelana Jaya pada 8 Mac 2022 (Selasa) dan perlawanan pertama Piala FA menentang Manjung City FC di Kuantan pada 12 Mac 2022 (Sabtu).

Selain itu, pasukan Liga Premier, UiTM FC turut berdepan masalah sama apabila 12 pemain didapati positif COVID-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala.

Ini sekali gus menyaksikan perlawanan Liga Premier menentang Terengganu FC II di Kuala Terengganu pada 5 Mac 2022 (Sabtu) dan aksi Piala FA 2022 bertemu Kuching City FC pada 15 Mac 2022 (Selasa) terpaksa ditunda.

Satu lagi pasukan dari Liga Premier, Perak mengesahkan seramai enam pemain positif COVID-19 dan 14 pemain kontak rapat bergejala.

Ini menyebabkan perlawanan bertemu Kelantan United di Ipoh pada 5 Mac 2022 (Sabtu) bagi aksi Liga Premier dan pertemuan dengan Kijang Rangers di venue yang sama pada 14 Mac 2022 (Isnin) terpaksa ditunda.

Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu MFL membenarkan semua pasukan untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak COVID-19 atau kontak rapat bergejala.

Semalam, MFL mengumumkan dua aksi Liga Premier 2022 iaitu perlawanan Selangor 2 dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam pada 5 Mac 2022 (Sabtu) dan PDRM FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 Mac 2022 (Isnin) terpaksa ditunda.

Ini kerana MFL telah menerima permohonan daripada PDRM FC untuk menunda perlawanan di mana seorang jurulatih dan 14 pemain mereka didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama.

Jadual perlawanan Piala FA 2022 yang menemukan Skuad Projek FAM-MSN dan Tok Janggut Warriors FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 11 Mac 2022 (Jumaat) dan pertemuan PDRM FC bersama Perlis United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 15 Mac (Selasa) terpaksa ditunda.