Liga Super Malaysia Berita

Declan Lambert sertai KL City

Declan Lambert secara rasmi menyertai Kuala Lumpur City bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Pemain pertahanan berusia 23 tahun itu merupakan abang kepada kembarnya yang tidak seiras, Ryan Lambert yang menyertai KL tahun lalu serta membantu pasukannya muncul juara Piala Malaysia 2021.

Declan layak mewakili negara kerana beliau dan Ryan dilahirkan di Kuala Lumpur, dengan bapa mereka berasal dari England dan ibu yang berasal dari Malaysia.

Beliau membesar dan memulakan karier bola sepak profesional di Australia bersama Rishmond SC di usia 17 tahun pada 2016.

Pada 2018, Declan dan Ryan mencuba nasib di Eropah dengan menjalani sesi percubaan bersama beberapa kelab di Belanda sebelum menyertai kelab liga divisyen ketiga, Achilles 29 pada 1 Januari.

Namun, selepas Achilles tersingkir di hujung musim, Declan dan Ryan menyertai kelab divisyen kedua Belanda, FC Den Bosch pada Julai 2018.

Adiknya, Ryan hanya beraksi 8 perlawanan sepanjang dua musim bersama Den Bosch, namun Declan menjadi salah seorang pemain utama apabila beraksi 30 perlawanan dalam dua musim bersama kelabnya.

Selepas Ryan meninggalkan Belanda untuk menyertai KL pada April 2021, Declan terus kekal di Den Bosch sebelum kontraknya berakhir dan menyertai adiknya di Malaysia pada Januari tahun ini.

Beliau juga sudah mula beraksi bersama KL dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi Piala Sumbangsih 2022 menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.