Pengurus besar Perak FC, Azman Noh memohon maaf kepada penyokong dan peminat bola sepak Perak selepas gagal mempertahankan rekod untuk terus bertahan dalam Liga Super.
Beliau berkata, pihaknya telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh daripada Liga Super sejak diperkenalkan tahun 2004.
Bagaimanapun, beliau mengakui, di sebalik usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan dalam masa yang begitu singkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1001 makna kepada
pasukan, paling mustahak ia merupakan satu pengajaran yang paling bermakna untuk
kita bangkit.
“Perak FC memahami denyut nadi penyokong dan peminat bola sepak yang terus setia ketika susah dan senang, ketika kalah dan menang.
“Ketika penyokong dan peminat kecewa kerana kita sepatutnya meraikan 100 tahun bola sepak Perak, pihak Perak FC turut sama merasai kekecewaan dan kesedihan itu.
“Terima kasih atas sokongan yang berterusan dari penyokong serta peminat dan diharap sokongan itu akan terus berterusan ketika pasukan di tahap paling rendah ketika ini.”
Katanya, proses untuk bangkit akan bermula dari sekarang dengan meletakan sasaran juara Liga Perdana tahun hadapan, sekaligus kembali ke Liga Super musim berikutnya.
“Proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan dan Perak FC akan membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka pendek dan juga panjang dalam masa terdekat.
“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran untuk
Perak FC, sebaliknya ini adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat.
“Sekali lagi terima kasih kepada semua pihak, khususnya penyokong, peminat dan tidak lupa kepada kerajaan negeri Perak yang begitu banyak membantu, walaupun sedang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.”
Perak akhirnya tersingkir ke Liga Premier selepas 17 tahun bersaing di Liga Super selepas tewas 2-1 kepada Melaka United.