Luar Negara Berita

Hadi Fayyadh kembali ke Azul Claro Numazu

Hadi Fayyadh kini kembali bersama pasukan pinjamannya, Azul Claro Numazu selepas pulih dari kecederaan.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka beraksi lebih banyak musim ini, namun nasib tidak menyebelahinya apabila mengalami kecederaan ACL dilutut sebelah kanan pada Mac lalu ketika menjalani sesi latihan.

Ia memaksa beliau pulang ke Fagiano Okayama untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun nampaknya beliau sudah melengkapkan proses pemulihan dan bersedia untuk beraksi semula memandangkan beliau dibenarkan kembali ke Azul Claro.

Hadi sendiri meluahkan rasa gembira kerana dapat kembali ke Azul Claro selepas menjalani pembedahan.

“Saya gembira dapat kembali ke Azul Claro,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan dorongan, saya amat menghargainya. Saya cukup bersemangat dan teruja untuk melakukan comeback.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada Fagiano Okayama yang memberikan layanan baik serta membantu menguruskan pembedahan saya.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Hadi Fayyadh (@hadifayyadhh)

Hadi masih ada masa untuk menunjukkan keupayaannya memandangkan kontrak pinjamannya bersama Azul Claro akan berakhir hujung tahun ini.

Ini merupakan musim kelima Azul Claro bersaing di Liga J3, selepas tiga musim beraksi di liga divisyen ke-4.

Azul Claro kini menduduki tangga ke-12 daripada 15 pasukan, dengan mengumpul 14 mata dalam 14 perlawanan.