Liga Super Malaysia Berita

Dua pemain Kedah positif Covid-19, perlawanan lawan Pulau Pinang terpaksa ditunda

Perlawanan Liga Super melibatkan Kedah dengan Penang esok di Stadium Darul Aman terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu selepas dua pemain Kedah didapati positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL bersetuju untuk menunda perlawanan berkenaan selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan dikesan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan.

“Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif Covid-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan. Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal.”

Ab Ghani berkata, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19.

“Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini.”