Masalah tunggakan gaji dan penghijrahan lima pemain utama menyebabkan tiada siapa lagi yang mahu menyertai Perak musim ini.
Jurulatih Perak, Chong Yee Fatt mengakui terpaksa menyenaraikan sebahagian besar pemain pasukan Perak II bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bagi mengharungi baki pusingan kedua saingan Liga Super.
Ini walaupun pihak pengurusan sedang cuba membawa masuk beberapa pemain baharu.
“Bukan senang sekarang ini kita nak isi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama dengan pemain tempatan daripada kelab lain,” katanya kepada Bernama.
“Dengan keadaan kita, mereka pun was-was nak datang. Mahu atau tidak, kita kena guna juga pemain daripada Perak II.
“Pemain Perak II ini juga kita akan gabungkan dengan beberapa pemain senior yang mungkin akan terus kekal dengan Perak FC untuk baki saingan liga ini.”
Pada masa sama, Yee Fatt akui beliau berdepan dengan cabaran besar untuk memastikan Perak kekal dalam saingan Liga Super musim depan, dengan Perak berada pada tangga ke-10 liga dengan 12 mata, hanya beza 1 mata dengan Melaka United yang berada di tangga ke-11.
“Susah memang susah. Tengok daripada pelan perancangan kita pun semua orang dapat menilai.
“Cuma apa yang boleh dibuat untuk ketika ini, kita kena positif kerana liga belum tamat. Ada lagi masa, ada lagi perlawanan, jadi kita kena cuba untuk kekal.”
Beliau juga berharap pihak pengurusan dapat membawa masuk pemain import di bahagian serangan.
“Bagaimanapun ia masih dalam cadangan. Cuma, kalau berhasil, ia satu perkembangan positif pada kita untuk menambah kekuatan di bahagian serangan.”