Liga Super Malaysia Berita

Kerajaan benarkan penonton ke stadium bermula 1 April, dua perlawanan Liga Malaysia jadi percubaan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan kemasukan penonton ke stadium berkuatkuasa 1 April ini.

Ini berdasarkan pembentangan KBS yang dibuat pada hari Selasa lalu.

Ismail berkata, kebenaran itu diberikan berdasarkan kawalan pergerakan di setiap negeri iaitu 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 untuk PKPB dan 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 untuk PKPP.

“Dua perlawanan bola sepak Liga Malaysia akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan atau proof of concept untuk menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

“KBS, MKN dan KKM turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang telah ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan tersebut nanti.

“Kita akan buat percubaan dulu, kerana yang membimbangkan kita sewaktu keluar dan masuk perlu beratur. Ada penjarakan sosial penonton sewaktu beratur masuk, di dalam kita boleh pastikan kerana stadium luas jadi tidak sukar untuk penjarakan sosial semasa menonton.

“Yang lebih membimbangkan apabila keluar. Bola habis keluar serentak, kita boleh bayangkan walaupun 2,000 sekalipun adalah ramai, kalau 8,000 lebih ramai lagi.

“Jadi pihak stadium perlu mengambil tindakan supaya tidak berlaku kesesakan sewaktu perlawanan.”

Beliau juga berkata tiket hanya akan dijual secara online, namun pemegang pas bermusim akan diumumkan sendiri oleh KBS.

Operasi jualan diluar stadium pula hanya kedai yang sedia ada dibenarkan, manakala gerai yang baru dibuka tidak dibenarkan.