Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mendedahkan sebab skuad kebangsaan memilih untuk mengadakan kem latihan di pusat latihan milik Johor Darul Ta’zim pada 22 hingga 30 Mac ini.
Beliau mengakui, kemudahan lengkap yang dimiliki JDT menjadi faktor utama kem latihan pusat kali ini diadakan di Johor Bahru.
“Kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini pastinya akan dapat membantu kami untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik bagi menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan memandangkan JDT memiliki kemudahan pusat latihan bertaraf dunia yang mana ia adalah yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.
“Pusat latihan mereka merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting.
“Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.
“Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah mengganggu persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan yang serba lengkap ini.”
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menjelaskan bahawa tempoh 9 hari bagi kem latihan pusat kali ini penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang.
“Ini masa terbaik untuk kami fokus terhadap persiapan pasukan kerana apabila kami berkumpul pada Mei nanti, kita dah tak ada banyak masa untuk latihan kerana perlu fokus dengan persiapan tiga perlawanan terakhir kelayakan.
“Jadi kesempatan selama sembilan hari yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu kepada para pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti dan apabila mereka datang ke kem latihan pusat pada Mei, semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE, Vietnam dan Thailand.”