Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan mula hari ini, namun hanya kepada sukan yang boleh bermain secara individu dan tanpa sentuhan.
Antaranya adalah joging, brisk walking, berbasikal, tenis, badminton, ping pong, permotoran, latihan kemahiran kendiri secara berseorangan, gimnasium dan golf.
Ismail berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan permohonan untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.
Justeru, kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti sukan joging/ brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.
“Sukan tenis, badminton, ping pong pula hanya membabitkan acara perseorangan sahaja dan sukan permotoran untuk dua roda dan empat roda,” katanya dalam sidang media MKN.
“Aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri tanpa aktiviti bersentuhan.
“Penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan.
”Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.
“Prosedur operasi standard (SOP) terperinci boleh dirujuk di laman sesawang KBS dan MKN. Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers.”