Berita perpindahan Nathaniel Shio Hong Wan ke JDT mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat Malaysia.
Pemain berusia 20 tahun itu bakal berhijrah ke negeri kelahiran ibunya pada Jun ini setelah kontrak dua tahunnya bersama Wolves berakhir pada tengah tahun ini.
Namun, ramai yang masih tertanya-tanya mengenai keupayaan Nathaniel memandangkan beliau tidak terlibat dengan skuad utama Wolves musim ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Wolves, Nuno Espirito Santo pernah mengulas mengenai Nathaniel dalam satu temubual dengan Astro pada bulan lalu.
“Dia pernah beraksi dengan Wolves dalam kejohanan Asia Trophy,” kata Nuno.
“Dia terlibat dalam dua perlawanan, malah saya bagi dia beraksi pada perlawanan akhir menentang Manchester City, dia masuk sebagai pemain gantian dan dia beraksi dengan cukup baik.
“Saya sangat terlibat dengan pembangunan pemain muda. Falsafah kita bermain dengan skuad yang kecil dan semasa sesi latihan kita sentiasa beri peluang berlatih bersama pemain muda.
“Kalau ada pemain beraksi bagus di B-18 dan B-23 maka pemain itu semakin hampir untuk menyertai skuad utama.
“Semua pemain muda yang kami ada merupakan pemain yang bagus. Kalau kami tidak mahu pemain berpengalaman terlibat dalam satu-satu perlawanan atau pertandingan, kami akan bergantung kepada pemain muda.”
Nathaniel bukan sahaja mendapat perhatian JDT, tetapi juga FAM yang berhasrat untuk melibatkan beliau dengan skuad negara.