Liga Super Malaysia Berita

MFL anggap gelembung sukan mustahil dilakukan di Liga Malaysia musim ini

CEO MFL, Datuk Ghani Abd Hassan mengakui mengambil kira pelbagai cadangan untuk menganjurkan Liga Malaysia bagi musim 2021 namun menganggap format gelembung sukan adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Katanya, ini kerana setiap pasukan perlu beraksi di dua venue yang berbeza sepanjang musim.

“Mustahil untuk kami mengadakan perlawanan liga dalam bentuk gelembung sukan kerana pasukan-pasukan perlu bermain di tempat sendiri dan lawan,” katanya kepada Astro Arena.

“Semua pasukan akan berjumpa antara satu sama lain, format kejohanan boleh dibuat dalam bentuk kumpulan.

“Ini menyukarkan pasukan-pasukan, malah penganjur.”

Justeru, Ghani berkata pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperincikan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih ketat menjelang sepak mula liga pada 5 Mac nanti.

“MFL telah menetapkan SOP ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pasukan Liga Malaysia.

“Itu tidak dapat dinafikan malah berjaya apabila tiada kes positif dalam musim 2020.

“Sudah tentu musim ini SOP akan diperketatkan tetapi terpulang kepada MKN untuk menerima SOP. MFL masih di peringkat rundingan bersama MKN dan KBS untuk memastikan SOP yang dikenakan itu berpatutan dan tidak mendatangkan masalah besar kepada pasukan.”

Disebabkan PKP, MFL membuat keputusan untuk menukar tarikh mula saingan Liga Malaysia daripada 26 Februari kepada 5 Mac.

Malah, MFL juga membuat keputusan untuk tidak menganjurkan Piala FA tahun ini, atas permintaan pasukan yang mahu lebih masa untuk melakukan persiapan serta menganggap jadual akan menjadi padat.