Bekas penyerang Kelantan, Fauzi Rozlan menggesa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) supaya membayar tuntutan tunggakan gajinya segera.
Ini selepas FAM mengarahkan KAFA membayar tuntutan dari Fauzi itu dengan nilai sebanyak RM63,628.18 dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan.
Malah, pemain berusia 32 tahun itu enggan menerima bayaran secara ansuran kerana terkesan dengan kehilangan pendapatan sejak meninggalkan Kelantan pada hujung musim 2019.
“Saya rasa kalau secara berperingkat, saya tidak bersetuju kerana kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi sekarang, saya sudah tertangguh untuk membayar komitmen yang ada,” katanya kepada Astro Arena.
“Antaranya seperti pinjaman rumah, kenderaan, pembiayaan persekolahan anak dan lain-lain lagi.”
“Saya sudah menantikannya lebih dari setahun. Saya ingin mendapatkan hak saya daripada KAFA.
“Isunya adalah sebelum saya meninggalkan Kelantan, saya pernah menuntut hak saya secara peribadi antara saya dan KAFA.
“Namun, alasan yang diberikan mereka adalah disebabkan faktor COVID-19.”
Fauzi berhijrah ke Sarawak United pada musim 2020 namun kontraknya tidak dilanjutkan untuk saingan musim 2021.