Nama Sri Pahang mendapat undian paling tinggi dalam peraduan mencipta nama dan logo baharu bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
Ini selepas nama itu diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang kemudiannya menganjurkan pertandingan nama dan logo baharu secara dalam talian menerusi portal rasmi Pahang FA.
Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, nama itu mengatasi nama lain seperti Pahang FC atau Darul Makmur.
Katanya, nama Sri Pahang juga mendapat lebih 2,000 undi berbanding nama-nama lain yang undinya hanya sekitar 30 hingga 50 undian sahaja.
Bagaimana pun nama tersebut mendapat bantahan segelintir peminat yang merasakan nama itu tidak sesuai untuk pasukan bola sepak.
“Sehingga kini saya sahkan nama Sri Pahang,” katanya kepada Utusan.
“Tetapi bagi logo, ianya sudah ada pemenang tapi masih dalam proses ubah suai.
PBNP dijangka mengumumkan nama pemenang nama dan logo baharu Pahang dalam waktu terdekat.