Luar Negara Berita

[VIDEO] Portimonense perkenalkan Safawi Rasid buat pertama kali di Portugal

Safawi Rasid akhirnya diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu kelab Portugal, Portimonense bagi musim 2020/2021.

Menurut laman sesawang kelab itu, Safawi merupakan pemain terakhir yang ditandatangani oleh Portimonense bagi jendela perpindahan di Liga Portugal.

Safawi yang berlepas ke negara Eropah itu pada malam hari Sabtu lalu, tiba keesokan harinya dan menjalani ujian perubatan.

Beliau kemudian berdepan dengan media Portugal buat pertama kali, diiringi Rodiney Sampaio, ahli lembaga pengarah Portimonense.

Portimonense juga menyatakan bahawa Safawi dipinjamkan dari JDT sehingga ke akhir musim, dan kelab Portugal itu mempunyai pilihan untuk menandatangani pemain kebangsaan itu (loan with option to buy).

“Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dengan Portimonense,” kata Safawi ketika sidang media di Portugal.

“Saya harap saya dapat memberi sumbangan kepada kelab ini.”

Safawi juga mahu mengikut jejak langkah pemain Portimonense yang akhirnya menyertai pasukan ternama di Eropah.

“Ada beberapa pemain Portimonense sebelum ini sertai kelab besar seperti Tabata dan Shoya Nakajima, jadi saya harap saya dapat menunjukkan keupayaan diri dan menjadi seperti mereka.”