Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tidak berhasrat untuk menggunakan nama lain untuk pasukan kendaliannya, sebaliknya mahu dijenamakan semula sebagai Perak FC selepas proses penswastaan selesai sepenuhnya.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata nama pasukan Perak perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Sedikit masalah teknikal yang mana kegunaan nama ‘Perak’ ini yang sudah diwartakan, ini bermaksud pasukan Perak harus membuat permohonan kepada kerajaan negeri Perak untuk menggunakan nama Perak,” katanya kepada Harian Metro.
“Kita sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri Perak, setahu saya memang tiada apa-apa masalah, insya-Allah akan mendapatkan kelulusan dan Perak FA ini akan dijenamakan sebagai Perak FC dalam masa terdekat.”
Hasrat PAFA itu sekali gus menangkis dakwaan bahawa pasukan Perak akan dijenamakan semula kepada Bos Gaurus FC pada musim depan.