Aidil Sharin meluahkan kebimbangannya terhadap statusnya sebagaI jurulatih ketika ini, selepas Kedah masih belum mengadakan sebarang rundingan sehingga ke hari ini.
Beliau berkata, memandangkan kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini, beliau perlu membuat keputusan bagi menentukan hala tuju pada musim depan.
Dengan rundingan yang masih belum dimulakan, ia mengelirukan Aidil sama ada Kedah benar-benar mahukannya kekal di Stadium Darul Aman atau sebaliknya.
“Kebanyakan pasukan Liga Malaysia sudah mula membuat perancangan awal yang diperlukan untuk hala tuju pasukan musim depan,” kata Aidil kepada Harian Metro.
“Tetapi saya masih belum menerima apa-apa perbincangan seperti yang saya harapkan.
“Jika saya tidak menerima apa-apa rundingan atau perbincangan daripada KFA hingga pertengahan September ini, saya terpaksa membuat perancangan melalui tawaran yang diberikan oleh kelab lain.
“Agak hairan juga apabila tiada wakil Kedah FA yang datang untuk memberi gambaran kedudukan saya untuk musim depan dan sebagai jurulatih profesional, saya berharap perkara ini perlu dimulakan seawal mungkin.”
Aidil berkata, walaupun beliau masih kekal dengan Kedah pada musim ini, beliau tetap perlu memikirkan hala tujunya pada masa akan datang.
“Jika Kedah masih memerlukan khidmat saya, mereka perlu bertindak lebih cepat dalam rundingan awal ini dan inilah yang saya harapkan.
“Sebagai ketua jurulatih profesional, saya juga perlu membuat perancangan teliti mengenai masa depan saya dalam pasukan serta hala tuju kerjaya saya untuk masa depan.
“Saya berharap KFA dapat menyatakan perancangan yang mahu mereka cetuskan dengan lebih cepat agar saya dapat memberi fokus lebih baik dalam apa yang sedang saya usahakan khususnya untuk kemajuan bola sepak Kedah.