Liga Super Malaysia Berita

Perlawanan tanpa penonton: Ini pandangan Nidzam Jamil

Liga Malaysia musim 2020 akan bersambung tanpa kehadiran penonton, namun adakah ia akan memberi kesan kepada prestasi pasukan?

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil sebaliknya berpandangan bahawa ia bukan memberi kesan kepada pemain, tetapi kepada penyokong.

“Kita tidak rasa terganggu tanpa kehadiran penyokong atau pun penonton memandangkan ini adalah peraturan dan kita perlu patuhi,” katanya kepada Sinar Harian.

“Cuma kita rasa bersimpati terhadap penyokong yang tidak dapat hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan yang berlangsung.

“Kita juga kalau boleh sememangnya mahukan aksi kita ditonton, tetapi dalam keadaan sekarang kita perlu akur kerana ia adalah undang-undang yang perlu dipatuhi.”

Pada masa sama, Nidzam gembira dengan prestasi pemainnya ketika ini iaitu pemain Singapura, Khairul Amri dan Danial Amier Norhisham.

“Saya sudah berikan peluang kepada Khairul Amri pada aksi persahabatan berdepan Negeri Sembilan Sabtu lalu yang menyaksikan dia menjaringkan kedua-dua gol pasukan. Itu satu petanda positif.

“Saya juga gembira kerana Danial Amier juga dilihat sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan ini menandakan kita sudah mula memiliki kumpulan pemain yang besar.”

Felda akan bertemu UiTM FC pada 26 Ogos ini di Stadium Tun Abdul Razak, Pahang.