Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe langsung tidak dapat mengharungi sebarang perlawanan tahun ini.
Sedang beliau mempersiapkan perancangannya untuk bertemu UAE dan Vietnam pada bulan Mac, penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia mengubah segalanya.
Ia disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penangguhan Liga Malaysia, penangguhan AFC Champions League dan penangguhan kelayakan Piala Dunia 2022/2023.
AFC kemudian membuat jadual baharu untuk mengadakan perlawanan antarabangsa pada bulan Oktober dan November.
FAM mengaturkan perlawanan persahabatan bersama Bahrain dan Kuwait, manakala MFL mengaturkan jadual liga yang bersesuaian dengan skuad kebangsaan.
Namun AFC akhirnya menangguhkannya pada tahun ini, dan akan dijadualkan semula pada tahun hadapan.
Ia menyebabkan status perlawanan berdepan Bahrain dan Kuwait menjadi tanda tanya.
Malah, kontrak Cheng Hoe akan berakhir pada hujung tahun ini.
Pada dasarnya, seseorang jurulatih dilanjutkan kontrak mengikut petunjuk prestasi utama (KPI), namun ia menjadi masalah apabila tiada perlawanan pada tahun ini.
“Kalau berdasarkan KPI, kita akan lihat di mana kedudukan skuad kebangsaan di awal tahun,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
“Tapi sampai sekarang situasi nampak positif dan tidak ada pergerakan yang tiba tiba jadi negatif.”
Stuart juga menganggap, KPI bukan satu-satunya kriteria utama bagi melanjutkan kontrak.
“Kami ada hubungan baik dengan jurulatih Tan dan selalu berhubung dengan beliau.
“Kita masih mahu bergerak ke hadapan bersama-sama dan beliau masih berada dalam perancangan FAM.
“Jadi perbincangan akan selesai dalam masa terdekat.”