Liga Super Malaysia Berita

Pemain import Pahang terus terkandas di Lebanon

Hasrat pemain import Pahang, Khalil Khamis untuk menyertai semula pasukannya bertambah sukar selepas ibu negaranya Beirut berdepan insiden letupan bahan kimia berbahaya pada 4 Ogos lalu.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kejadian letupan tersebut menyebabkan kerajaan Lebanon mengetatkan lagi pintu sempadan keluar masuk negara.

Malah, kerajaan negara Timur Tengah itu masih tidak membenarkan rakyatnya ke luar negara disebabkan wabak COVID-19.

“Ia ditambah dengan penularan wabak COVID-19 di negara itu yang masih berlaku menyebabkan berlaku kesukaran dalam urusan Khalil kembali ke negara ini,” katanya kepada Harian Metro.

“Jika Khalil tiba di negara ini, dia sudah pasti akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan sah tidak akan beraksi pada 26 Ogos ini.

“Setakat ini, tiada pengesahan sama ada Khalil akan kembali bersama Pahang dalam tempoh terdekat ini.”

Ini bermakna Pahang hanya akan beraksi dengan empat import iaitu Dickson Nwakaeme, Herold Goulon, Ivan Carlos dan Adam Reed.