Liga Super Malaysia Berita

Selangor, Pahang sedia gempur Liga Super

Selangor dan Pahang dilihat sudah menunjukkan kesediaan untuk beraksi dalam Liga Super, selepas memberikan reaksi positif kepada tarikh baharu saingan liga yang akan disambung semula pada 26 Ogos ini.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan berkata tarikh baharu itu diterima baik kerana ia dilihat tidak akan memberi sebarang tekanan kepada semua pasukan untuk kembali beraksi dalam liga kompetitif.

“Walaupun kita terpaksa main tujuh perlawanan dalam masa 24 hari, kita mempunyai tempoh masa yang panjang untuk melakukan persediaan,” katanya kepada Bernama.

“Pasukan kini berada di landasan yang betul, bukan nak kata mereka sudah capai 100 peratus kecergasan seperti sebelum ini tetapi komitmen dan perkembangan ditunjukkan sangat memuaskan dan mengikut perancangan.”

Selangor kini berada di tangga kelima Liga Super, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, JDT.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh juga menganggap tarikh baharu itu memberikan masa yang mencukupi untuk meningkatkan tahap kecergasan para pemainnya.

“Tak banyak beza, 26 Ogos dengan 1 Sept. Bagi saya, yang penting kita sudah tahu kita mempunyai sebulan lebih untuk melakukan persiapan rapi.

“Pemain semua tidak cergas dan kelihatan sedikit bergelut dalam latihan ketika minggu pertama latihan berpasukan tetapi nampak perubahan dan pemain mula dapat sentuhan masing-masing pada minggu kedua.”

Pahang pula berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul enam mata, meskipun tewas dua kali dalam dua perlawanan pertama liga.