Luqman Hakim Shamsudin akan berlepas ke Eropah tidak lama lagi dan sedang menunggu kebenaran untuk ke luar negara supaya dapat menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk.
Malah, Luqman seolah-olah semakin bersedia untuk beraksi di Eropah apabila menandatangani kontrak bersama EL-EF Sport, agensi bolasepak United Kingdom yang berdaftar dengan FIFA dan England FA.
Namun, ada juga pihak yang kurang senang dengan perpindahan Luqman ke Eropah hanya kerana ia dibantu oleh pemimpin politik dan ahli perniagaan terkemuka negara.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Luqman sepatutnya diberi peluang untuk membuktikan keupayaannya di pentas Eropah terlebih dahulu.
“Kita jangan bebankan dia dengan soal perkara macam ini,” katanya kepada Sinar Harian.
“Kita perlu bagi peluang kepada Luqman menunjukkan bakat dan jika betul dia layak, maka dia boleh terus kekal di sana dan mungkin boleh masuk kelab yang lebih bagus.
“Ini merupakan satu pendedahan dengan cara mana pendedahan itu dibuat tidak menjadi isu, asalkan dia dapat menapak di luar negara dan mencuba nasibnya di sana.
“Bagaimana dia dapat pergi ke sana itu nombor dua. Kat sana nanti dia akan menentukan untung nasib dia sama ada dia betul-betul berkualiti dan layak bermain di Eropah atau sebaliknya. Sekarang ini beri dia peluang dulu.”
Jamal juga memberikan sokongan penuh kepada Luqman dan berharap pemain berusia 18 tahun itu dapat meraih kejayaan satu hari nanti.
“Apa yang paling penting ialah fokus tentang bola sepak. Luqman perlu terus di Eropah untuk pastikan matlamat untuk menjadikan bola sepak sebagai karier adalah perkara paling penting. Kalau banyak fikir mengenai perkara remeh ini akan merugikan diri sendiri.
“Luqman Hakim memang ada bakat, jadi bila perkara sebegini berlaku saya lihat bukan isu besar buatnya. Saya doakan dia berjaya di sana.”