Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui bangga dengan pencapaian Mohd Firdaus Maasar dan berharap saintis sukan itu dapat membantu perkembangan pembangunan bolasepak negara pada masa akan datang.
Namun beliau turut berharap Firdaus yang berkhidmat di Liverpool dan kini di akademi terkemuka iaitu Akademi Aspire dapat terus menuntut ilmu dalam bidangnya.
“Kita mengalu-alukan Firdaus untuk berkongsi pengetahuannya dan melihat kepada profilnya pun, kita tahu dia memang berkebolehan apabila pernah bekerja di Liverpool dan kini di Akademi Aspire,” katanya kepada BH Sukan.
“Kalau dia sudi membantu kita dengan pengetahuannya, sudah tentu kita boleh bekerjasama untuk merealisasikan menerusi sesi perkongsian atau apa cara yang dirasakan wajar.
“Cuma pandangan saya buat masa ini, biarlah dia fokus dengan kerjanya di sana dan menuntut sebanyak mana pengetahuan yang boleh. Apabila dia bersedia sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia nanti, kita memang mengalu-alukan bantuannya.”
Firdaus mencipta namanya apabila berkhidmat di bahagian sains sukan di pasukan Premier League, Liverpool sebelum membuat keputusan untuk menyertai akademi pembangunan terkemuka dunia, Akademi Aspire di Qatar.
Bagaimanapun, beliau mengakui mahu berkhidmat untuk negara satu hari nanti.
“Sejauh mana pun saya merantau, impian terbesar saya adalah untuk bersama membantu membangunkan bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Jika suatu hari nanti bola sepak Malaysia sudah bersedia untuk menerapkan aspek sains bola sepak secara serius, saya berbesar hati untuk membantu secara langsung atau tidak langsung.”