Liga Premier Malaysia Berita

Krisis kewangan: KL tidak mampu bertahan lagi

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa mengakui pasukannya sedang berdepan dengan masalah kewangan yang meruncing dan dijangka tidak akan bertahan lama selagi Liga Malaysia tidak disambung semula.

Katanya, walaupun KL memulakan musim 2020 dengan perbelanjaan yang cukup besar namun perkara itu tidak boleh dibanggakan lagi apabila penaja tidak menyelesaikan bayaran seperti dijanjikan sebelum ini.

“Sekarang ini KLFA tidak mendapat sebarang suntikan dana daripada pihak tertentu, sekali gus menyaksikan pasukan berhadapan masalah untuk membayar gaji pemain,” katanya kepada Arena Metro.

“Jika diikutkan, kami tidak boleh bertahan tempoh tiga bulan akan datang terutama melihat kepada situasi sekarang ini saingan liga tidak boleh bermula lagi selepas ditunda dua bulan lalu.”

Pada awal musim, KL mendapat sokongan kuat daripada pengurusan pasukan yang diketuai Khalid Samad selaku Menteri Wilayah ketika itu. Namun, selepas pertukaran kerajaan dan liga ditangguhkan akibat wabak COVID-19, segala-galanya berubah.

Terdapat juga pasukan yang dilaporkan hanya mampu membayar gaji pemain dan pegawai pasukan untuk tempoh sebulan sahaja.

Walaupun pemotongan gaji dibuat, inisiatif itu menjadi tidak berkesan jika penaja tidak menunaikan bayaran mereka.

Malah, ada antara pasukan bertaraf gergasi juga hanya menunggu masa untuk jatuh tersungkur kerana ketiadaan dana, semuanya gara-gara Liga Malaysia masih lagi ditangguhkan.