Liga Super Malaysia Berita

Penyokong Kedah kurang berpuas hati dengan perang mulut tiga penjuru

Penyokong Kedah ternyata kurang berpuas hati dengan perang mulut tiga penjuru antara Setiausaha Agung Kehormat, Asmirul Anuar Aris, TMJ dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara, Mohd Safarizal Mohd Sobri menyifatkan Asmirul terlalu beremosi sehingga seolah-olah sengaja menutup isu tunggakan gaji pemain dengan menyalahkan pihak lain.

“Sepatutnya tidak perlu membawa isu ini ke pihak yang lebih tinggi sehingga membabitkan FAM dan MFL kerana kami tahu KFA boleh menyelesaikannya tanpa sebarang masalah,” katanya kepada BH Sukan.

“Semua pun tahu Kedah menjadi pasukan yang paling lantang menyuarakan pendapat seperti agihan hak penyiaran musim lalu, jadi niatnya semata-mata untuk berjuang demi pasukan tetapi mungkin tindakannya berada di luar kawalan.

“Bagaimanapun, kami ambil maklum dengan situasi semasa dan tunggakan gaji itu pun sebenarnya bukanlah isu yang begitu serius seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak.”

Safarizal turut menegur pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak menggunakan platform laman media rasmi JDT, seolah-olah cuba memburukkan pasukan lain.

“Kita terbuka menerima pendapat namun janganlah ia seolah-olah membelakangkan KFA. Kalau betul Tunku Ismail mahu membantu profesion bola sepak kita, mungkin beliau boleh menegur dengan cara yang lebih mudah diterima.

“Pada pendapat saya, tidak manis apabila perkara seperti itu dihebohkan menerusi akaun rasmi pasukan lain.”