Pemain pertahanan Terengganu, Nasrullah Haniff Johan mengakui sudah tidak sabar untuk turun padang dan beraksi kembali dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Namun pemain berusia 29 tahun itu terpaksa menunggu lebih lama apabila perintah kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga 28 April.
“Jika ikut hati saya memang tidak sabar dan sangat rindu untuk berlatih serta beraksi di padang seperti biasa, kaki pun sudah menggigil untuk menyepak bola,” katanya kepada Arena Metro.
“Tapi apakan daya kami perlu akur memandangkan wabak Covid-19 ini belum pulih sepenuhnya.
“Jadi saya hanya ikut jadual latihan yang diberikan jurulatih, namun begitu ia tidak memberi kepuasan kerana dilakukan begitu terhad di rumah.”
Nasrullah yang sudah beraksi dengan Terengganu sejak 2017 berharap kebajikan pemain akan terus terbela walaupun pasukan berdepan dengan masalah kewangan akibat sumber pendapatan terjejas kerana tiada perlawanan yang boleh dilangsungkan.
“Sebagai pemain, sudah tentu mahukan liga disambung kembali lagipun baharu empat perlawanan dilangsungkan manakala saingan liga pun msih lagi terbuka.
“Namun jika FAM dan MFL memutuskan untuk menamatkan liga lebih awal berikutan bimbang penularan wabak itu, kami perlu akur demi kebaikan semua rakyat Malaysia.
“Tapi saya berharap jika liga tidak dapat diteruskan, kami merayu persatuan bolasepak negeri dapat menjaga kebajikan pemain demi kelangsungan hidup terutama dengan penularan wabak itu.”