Pemain Kedah, Azmeer Yusof sudah berancang untuk masa depannya selepas bersara daripada dunia bolasepak.
Menerusi catatan di akaun rasminya di Facebook, pemain berusia 29 tahun itu menganggap pemain bolasepak seolah-olah berada dalam persaraan selepas Liga Malaysia kekal tangguh berikutan tempoh perintah kawalan pergerakan dilanjutkan untuk 14 hari lagi.
“Selepas kita semua berhenti main bolasepak, apa pekerjaan kita? Kita harus fikirkan mulai sekarang. Tak selamanya kita berada di atas. Satu masa nanti kita akan landing ke tanah jua dan jadi seperti orang biasa. Jangan malu lakukan apa-apa pekerjaan sekali pun. Yang penting halal di sisi agama Islam.”
Azmeer juga berpandangan tempoh PKP seharusnya menyedarkan ramai pihak terutamanya pemain bolasepak untuk mencari pendapatan lain.
“Saya nak ajak sahabat ‘sedunia’ dengan saya supaya kembali kepada yg asal. Lupakan bolasepak dan fikirkan masa hadapan.
“Cari pendapatan lain, jangan mengharapkan gaji bola semata-mata. Ingat..tak selamanya bolasepak mahukan kita. Tak selamanya coach mahukan kita. Tak selamanya majikan mahukan kita. Bersedia dari sekarang!”
Pada masa sama, Azmeer mendedahkan kepada wartawan bahawa beliau sedang mencari pendapatan dengan menjual ikan bersama sepupunya, Hazali Hamid.
Sebelum liga ditangguhkan, Azmeer hanya mahu membantu mengeluarkan modal untuk sepupunya berhenti kerja bagi memulakan perniagaan pembersihan sampah.
Namun ekoran tempoh PKP, sepupunya tidak dapat memulakan perniagaan itu dan selepas melakukan perbincangan bersama, mereka berdua mencapai kata sepakat untuk menjalankan perniagaan menjual ikan.
“Saya dengan sepupu cukup rapat sejak kecil kerana dia banyak membantu perkembangan karier saya sejak aktif bermain bola sepak.
“Sebagai membalas budinya yang tidak jemu menyokong karier saya, saya telah belikan lori dan tiga tong sampah sebagai permulaan perniagaan pembersihan sampah.
“Bagaimanapun hasrat itu tidak dapat diteruskan buat masa ini, jadi kami ambil keputusan menjual ikan memandangkan saya tahu saluran mendapatkan ikan terus daripada peraih di Kedah.
“Bermula daripada 500 kilogram pengambilan, kami boleh menjual dalam 1.2 tan ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur.
“Memang sama sekali tidak sangka sambutan cukup baik dalam tempoh seminggu lebih ini dan alhamdulilah pulangannya begitu lumayan bagi kami berdua.
Azmeer bagaimanapun tidak berhasrat untuk meneruskan perniagaan ikan untuk jangka masa panjang kerana sudah ada cita-cita tersendiri iaitu menubuhkan syarikat pembersihan sampah selepas bersara daripada dunia bola sepak.
“Mungkin selepas PKP berakhir, kami akan serahkan perniagaan ini kepada sepupu lain yang telah menyuarakan minat untuk mengambil alih manakala sepupu saya Hazali akan kembali fokus kepada perniagaan pengurusan pembersihan sampah.
“Niat saya mahu meneruskan legasi perniagaan ayah dan mahu dia berehat apabila saya boleh menumpukan perniagaan ini sepenuh masa.”
Azmeer juga menggesa pemain-pemain lain agar boleh ikhtiarkan sesuatu dalam mencari pendapatan sampingan memandangkan kebanyakan pasukan dijangka akan ambil langkah pemotongan gaji.
“Bagi tempoh ini, saya rasa pemain kena fikirkan cara terbaik menjana kewangan sendiri terutama melalui berniaga kerana sepanjang PKP ini, semua pasukan pasti terjejas.
“Jadi kena ada langkah alternatif jika situasi ini terjadi bagi memastikan segala keperluan asas kita tidak terjejas dalam hadapi situasi ini.
“Saya juga kena bijak membahagikan masa melakukan program kecergasan di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak kejurulatihan.”
Mengulas lanjut dalam catatannya di Facebook, Azmeer berharap pemain bolasepak tidak mensia-siakan masa dan peluang untuk mencari pendapatan alternatif.
“Saya niatkan untuk tolong warga Lembah Klang merasai ikan segar. Ini juga pendapatan saya sewaktu PKP.
“Selalunya orang akan ‘ bercakap-cakap ‘ kepada si penjual ikan. Stop say like that. Try dulu masuk ke dalam dunia bisnes ikan. Anda akan terkejut dengan pulangannya, Insya-Allah.
“Lastly dear footballers, prepare your future now! Jangan harapkan bolasepak semata-mata.”