Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards membidas spekulasi yang disensasikan oleh sebuah akhbar terkemuka berkenaan dengan masa depan jurulatih JDT, Benjamin Mora.
Ia berlaku selepas JDT sekadar mencatatkan seri 1-1 menentang Felda United di Stadium Sultan Ibrahim.
Akhbar tersebut membuat spekulasi bahawa JDT mungkin perlu mencari jurulatih baharu walaupun telah mencatatkan tiga kemenangan sebelum itu, sekaligus mengumpul 10 mata dan kekal sebagai pendahulu Liga Super untuk dua minggu berturut-turut.
“Terkilan kerana JDT berada di persada Liga Super Malaysia selepas empat perlawanan dengan mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan mengekalkan rekod tanpa kalah termasuk kemenangan ke atas Suwon Samsung Bluewings dalam Liga Juara-Juara AFC.
“Apa yang lebih membingungkan adalah bahawa sebuah organisasi akhbar telah mendapatkan pendapat dari seorang individu yang bukannya seorang jurulatih, bekas pemain atau pun seorang yang terlibat dalam industri bola sepak untuk mensensasikan keputusan seri 1-1 JDT ketika menentang Felda United dan membuat spekulasi tentang perihal yang tidak pasti.
“Kami faham bahawa ‘rating’ akan meningkat apabila topiknya berkaitan JDT tetapi laporan haruslah sentiasa disampaikan secara profesional, logik dan tidak berat sebelah pada setiap masa.”