Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya menyesuaikan diri dengan padang di Stadium Sultan Ibarhim secepat mungkin memandangkan mereka belum pernah menguji keadaan padang di stadium baharu itu.
Beliau mengakui padang dan rumput di stadium itu berbeza dan mereka perlu memastikan apa jua keadaan di padang tersebut tidak akan merencatkan pergerakan pemain.
“Kami tidak berpeluang lagi untuk menguji padang di stadium ini dan saya tidak boleh nak memberi pendapat lagi bagaimanakah agaknya keadaan rumput di situ.
“Tetapi sudah pasti, apa jua keadaan itu, kami sendiri kena bijak menyesuaikan diri dan tiada alasan untuk pemain anggap keadaan rumput dan padang yang berlainan di stadium itu akan menjadi satu masalah kepada pasukan untuk beraksi.
“Yang penting, saya tahu JDT mempunyai padang yang cukup berkualiti dan antara yang terbaik di Asia Tenggara dan saya mahu pemain gunakan peluang ini untuk beraksi sebaik mungkin menentang pasukan hebat seperti JDT.”
Pertembungan antara JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim yang baharu sahaja dirasmikan pada Sabtu lalu di mana perlawanan ini akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2020.
Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala Sumbangsih adalah pada tahun 2017, dengan JDT muncul pemenang untuk edisi 2018 dan 2019.