Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kualiti yang ada pada penyerang import, Diogo Luis Santo setanding dengan gandingan penyerang terbaru Kedah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipree menjelang CIMB Piala Sumbangsih 2020, malam esok.
Sherman selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2019 dan Kipre penjaring terbanyak edisi 2018 dilihat akan menjadi senjata terbaik barisan hadapan pasukan Kedah untuk mengatasi JDT dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim.
Walaubagaimanapun, Mora menganggap kehadiran dua penyerang import berkenaan tidak akan menggugat perancangan JDT kerana kekuatan yang dimiliki oleh Diogo juga sama hebat untuk memberi tekanan kepada lawan.
“Saya tidak menafikan kualiti yang ada pada Sherman dan Kipre yang akan memperkuatkan serangan Kedah.
“Tetapi kami juga ada Diogo yang mana kami boleh katakan dia juga antara penyerang terbaik dalam pasukan ini untuk memberi tentangan sengit kepada lawan.
“Sebelum ini kami memang pernah berdepan dengan kekuatan yang ada pada Sherman dan Tchetche, dan saya boleh katakan mereka memang penyerang yang merbahaya.
“Untuk JDT, kami sudah mengkaji apa yang sepatutnya dan semua pemain perlu lakukan apa jua yang termampu untuk mengekang asakan mereka.”