Ong Kim Swee meneruskan khidmatnya selaku pengarah pembangunan belia di FAM adalah bagi memastikan pembangunan bolasepak peringkat akar umbi terus berkembang.
Katanya, beliau enggan melihat Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara Asia Tenggara terutamanya selepas Malaysia tersingkir awal dari Sukan Sea 2019.
“Kalau kita lihat sekarang negara Asia Tenggara kecuali Vietnam, Thailand dan Indonesia yang kita tahu memang lawan kita, namun kita jangan lupa Kemboja, Laos, Timor Leste dan Filipina yang semakin mengejar kita,” katanya kepada BH Sukan.
“Kalau kita masih lagi memikirkan kita harus kekal ini… kekal itu, saya tidak terkejut Sukan SEA seterusnya akan berlaku perkara sama.”
Ong memulakan tugasnya dengan merangka pelan jangka panjang mengenai perkembangan akar umbi.
“Namun, ia terpulang kepada pihak pengurusan untuk menentukannya. Saya sudah jelaskan semua cadangan saya termasuklah sama ada kita mahu mendapatkan keputusan yang baik atau untuk sekadar pendedahan.
“Sudah tentu tugas saya lebih tertumpu kepada pembangunan bola sepak negara kita. Saya harap dengan adanya saya dalam jawatan pembangunan ini, saya dapat membantu serba sedikit pembangunan belia.”