Liga Premier Malaysia Berita

Bekas pemain Marseille sertai Kuala Lumpur

Pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur akhirnya mengumumkan penyerang import baharu iaitu Guy Gnabouyou bagi musim 2020.

Pemain berusia 30 tahun itu akan beraksi di Malaysia buat pertama kali dan KL menjadi pasukan Asia pertama disertainya selepas lebih 10 tahun di Eropah.

Guy lahir di Marseille, Perancis dan menyertai kelab Olympique Marseille pada 2005 di usia 15 tahun sebelum membuat penampilan pertama dua tahun kemudian.

Beliau menyertai kelab Perancis di Ligue 2, Orleans pada 2010 sebelum menyertai Paris FC pada 2011.

Namun dalam tahun yang sama, Guy menyertai kelab Liga Finland, Inter Turku dan kekal selama dua musim.

Selepas itu, Guy banyak berhijrah dari satu kelab ke satu kelab lain seperti kelab Liga Greece, Kalloni dan kelab Liga Malta, Sliema Wanderers pada 2014 sebelum kembali ke Inter Turku pada 2015.

Beliau kekal selama dua musim sebelum membuat keputusan untuk menyertai kelab Liga Inggeris, Torquay United pada 2017.

Tahun lepas, Guy memiliki dua pasukan iaitu Iraklis di Liga Greece, sebelum menyertai Petrolul Ploiesti di Liga Romania.

Beliau dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Guilherme de Paula yang berhijrah ke Perak.