Malaysia Berita

FAM berminat lantik Tan Cheng Hoe kendali skuad negara Bawah 22 Tahun

FAM dilihat berminat untuk melantik Tan Cheng Hoe selaku pengendali skuad negara Bawah 22 Tahun pada masa akan datang.

Ini terutamanya selepas menyaksikan jurulatih Vietnam, Park Hang-seo yang juga mengendalikan skuad Bawah 22 Tahun berjaya meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2019.

Pendekatan yang serupa turut digunakan oleh jurulatih Thailand, Akira Nishino yang dilihat memudahkan beliau untuk membentuk pasukan muda dan boleh dinilai dengan lebih dekat untuk dipanggil untuk mewakili pasukan senior.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata perkara itu akan diberi pertimbangan dan dibincangkan dalam mesyuarat FAM tidak lama lagi.

“Keputusan untuk jurulatih skuad B-22 itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Skuad Kebangsaan pada Februari atau Mac depan,” katanya kepada Stadium Astro.

“Saya mahu tambah di sini bahawa adalah tidak mustahil untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan kendali pasukan B-22.”

Setakat ini belum ada keputusan dapat dibuat kerana Tan Cheng Hoe sedang memberi tumpuan penuh kepada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Kita perlu sedar bahawa kami ada perjalanan yang amat penting bersama jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Jun depan.

“Dan saya rasa kami perlu meletakkannya sebagai kepentingan dalam perbincangan dan keputusan yang akan dikeluarkan FAM.”

Jika direalisasikan, ia akan memudahkan Tan Cheng Hoe menilai pemain muda untuk diserap masuk ke pasukan senior.

Malah, skuad B-22 akan bermain menggunakan falsafah Tan Cheng Hoe, sekali gus lebih memahami cara permainan pasukan senior.

Paling penting, tidak timbul soal perebutan pemain antara skuad kebangsaan dan skuad B-22.

Sekurang-kurangnya, pelantikan Tan Cheng Hoe dapat mengurangkan kos untuk mengambil jurulatih lain untuk mengendalikan skuad B-22.