Eropah Berita

[VIDEO] Mourinho mula tugas

Ketua Jurulatih Tottenham Hotspur yang baru, Jose Mourinho memulakan tugas pertama dalam sesi latihan bersama skuad utama menjelang pertemuan menentang West Ham United pada Sabtu ini.

Pengendali dari Portugal itu berjanji untuk memberikan seluruh jiwa raga kepada pasukan yang disifatkan mempunyai potensi dan memiliki pemain berkualiti. 

‘Saya suka pasukan ini yang mempunyai pemain muda. Tiada satu pengurus di dunia yang tidak suka untuk menggunakan khidmat pemain muda dan membantu dalam perkembangan pemain tersebut’, jelasnya pada sesi temu bual rasmi pertama bersama Spurs.

Mourinho percaya akan bakat pemain muda akademi yang dimiliki mampu membantu skuad utama dalam mencapai matlamat pasukan. Beliau juga memuji stadium baru Spurs dan pusat latihan yang dianggap sebagai antara yang terbaik di dunia. 

Mengulas lanjut mengenai prestasi Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris, beliau percaya pasukannya lebih baik dan tidak patut berada seperti di dalam carta liga ketika ini. ‘Kami hanya perlu bermain setiap perlawanan dan seterusnya mendapatkan kemenangan. Kita akan dapat hasilnya di akhir musim’, tambahnya lagi.

‘Saya bersedia mengambil tanggungjawab ini untuk membawa kegembiraan kepada setiap orang yang mencintai kelab ini’.

Spurs akan bertandang ke Stadium London untuk bertemu West Ham United bagi perlawanan ke-13 liga. Spurs gagal mendapatkan sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir sebelum ini. Tugas berat menanti Mourinho kerana kali terakhir Spurs memperoleh kemenangan ketika membenam Crystal Palace 4-0 di gelanggang sendiri pada September lalu.