Eropah Berita

[VIDEO] City kenduri gol

Manchester City meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah apabila membenam Atalanta 5-1 di Stadium Etihad.

Atalanta mengejutkan tuan rumah diawal permainan dengan memperoleh gol pendahuluan menerusi sepakan penalti Ruslan Malinovskiy. City yang sememangnya kebal di hadapan penyokong sendiri bangkit dengan dua gol Sergio Aguero dalam masa empat minit sekaligus memberikan pendahuluan buat tuan rumah pada babak pertama.

(Photo by Michael Regan/Bongarts/Getty Images)

Bekas pemain Liverpool, Raheem Sterling mencuri tumpuan pada perlawanan semalam dengan mencipta jaringan hatrik dalam masa 11 minit. Jika berpandukan pada rekod, hatrik yang dihasilkan Sterling itu merupakan yang ketiga terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah.

Pada bulan Mac lepas, Sterling menjaringkan hatrik dalam masa 13 minit ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford. Hatrik dan Sterling ibarat satu perkara biasa. Faktor utama yang memudahkan pemain sayap ini mencipta jaringan yang banyak adalah atas kreativiti umpanan daripada rakan sepasukan.

City menurunkan Riyad Mahrez, Sergio Aguero, dan Raheem Sterling di barisan serangan serta dibantu oleh Phil Foden dan Kevin De Bruyne yang bertindak sebagai enjin pasukan di bahagian tengah. 

Kelebihan yang dimilik City pastinya pada kualiti pemain mereka. Ini juga punca utama yang membolehkan Pep Guardiola membuat pertukaran pemain secara pukal bagi sesetengah perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, City telah dibolosi buat kali pertama sepanjang tiga aksi Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Malah, Phil Foden juga telah dilayangkan kad merah pada minit ke-82.

Pada hujung minggu ini, The Citizens bakal melayan kunjungan Aston Villa dan seharusnya skuad bimbingan Guardiola ini perlu terus mengutip mata disaat Liverpool dijadualkan bertemu pasukan-pasukan besar dalam liga.