Kolum Eropah

#EmeryOut mula berlegar

Sheffield United kembali bangkit apabila menewaskan Arsenal 1-0 di Stadium Bramall Lane awal pagi tadi. Gol tunggal jaringan Lys Mousset membawa skuad Chris Wilder ke tangga kesembilan liga.

Seperti kebiasaan, Unai Emery terus konsisten dengan sikap pemilihan pemain kesebelasan utama yang kurang meyakinkan. Mesut Ozil terus disisihkan daripada skuad utama manakala Dani Ceballos dan Alexandre Lacazette bermula di bangku simpanan.

Dua pemain muda yang seringkali mendapat tempat dalam kesebelasan utama Arsenal ialah Bukayo Saka dan Joe Willock. Namun begitu, gagal membawa sebarang impak ke dalam pasukan.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Barisan serangan  The Gunners yang dikemudi Pierre Emerick Aubameyang dan Nicolas Pepe pula semakin tumpul. Pepe yang juga merupakan pemain termahal Arsenal gagal menyempurnakan hantaran lintang Sead Kolasinac untuk memberikan gol pendahuluan buat Arsenal. Persembahan suam-suam kuku daripada Pepe sebenarnya perlu diberi perhatian. Pemain antarabangsa Ivory Coast itu bergelut dalam mencari gol buat Arsenal.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Walaupun Arsenal menguasai permainan dengan 69% penguasaan bola, tetapi ianya tidak bermakna jika gagal untuk menterjemahkan peluang yang ada kepada gol. Tidak dinafikan, pemain tengah Arsenal begitu baik dalam mengawal tempo permainan tetapi kurang kreativiti dalam mencari ruang buat barisan serangan. 

Kelemahan yang dilihat ketara dalam pasukan ialah pada gerakan set-piece yang dilakukan pasukan lawan. Perkara ini berlaku sejak era Arsene Wenger lagi dan hari ini masih lagi tiada solusi.

Unai Emery perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan semasa kem Arsenal. Pemain-pemain yang sudah pulih daripada kecederaan seperti Kieran Tierney, Rob Holding, dan Hector Bellerin perlu segera beraksi untuk memperkuatkan skuad utama. Khidmat Mesut Ozil juga diperlukan bagi menambah kreativiti di barisan tengah. Gandingan Ozil dan Ceballos pasti akan menghasilkan sesuatu kerana kedua-dua pemain mempunyai kebolehan dalam mencipta peluang. 

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Para penyokong The Gunners sudah mula melancarkan tanda pagar #EmeryOut sejurus selepas tamat perlawanan awal pagi tadi. Ini merupakan isyarat jelas buat pengendali Arsenal itu untuk mula bertindak secara proaktif dan memberikan hasil yang berkualiti. Jika persembahan suram ini terus berlarutan, tidak mustahil buat Unai untuk ucapkan selamat tinggal kepada Stadium Emirates.