Kolum Eropah

15 tahun Messi bersama Barcelona

Lionel Messi bukanlah nama kerdil dalam dunia bola sepak. Pemain Argentina yang kini berusia 32 tahun itu telah mencapai pelbagai kejayaan bersama Barcelona. 

Messi juga telah menerima pelbagai anugerah individu yang mengiktiraf bakat dan kualiti pemain serangan ini. Namun di sebalik segala yang telah dicapai, pasti ada satu momen yang menjadi permulaan.

Tahukah anda, pemain kelahiran Rosario ini memulakan penampilan pertama bersama skuad utama Barcelona pada 16 Oktober 2004 ketika umurnya baru sahaja 17 tahun dan tiga bulan. Hari ini sudah genap 15 tahun daripada tarikh tersebut. Messi masuk menggantikan pemain tengah, Deco dalam perlawanan menentang Espanyol dan memakai jersi bernombor 30.

Berdasarkan rekod semasa, pemain yang digelar sebagai Greatest of All Time (G.O.A.T) dikalangan penyokong La Masia itu telah menghasilkan 604 jaringan daripada 682 penampilan bersama Barcelona. Bekas ketua pasukan Argentina ini juga merupakan pemain kedua dalam senarai penjaring terbanyak yang telah menghasilkan 112 gol  dalam saingan Piala Eropah dan Liga Juara-Juara Eropah.

Messi telah beraksi dengan ramai pemain terbaik dunia di Barcelona seperti Zlatan Ibrahimovic, Xavi Hernandez, Thierry Henry, Andreas Iniesta, Carles Puyol, Ronaldinho, Neymar, Alexis Sanchez, Alexandre Hleb, dan Pedro.