Malaysia Berita

Malaysia B-18 sasar tewaskan Australia B-18

Skuad negara bawah 18 tahun (B-18) bakal membuat perhitungan terakhir menentang Australia pada aksi final Kejuaraan B-18 AFF 2019, petang ini.

Kemenangan dramatik pada aksi separuh akhir menentang Indonesia hujung minggu lalu memberi kedudukan selesa buat skuad B-18 untuk mempertahankan kejuaraan.

Bagi pengendali skuad B-18, Brad Maloney percaya dengan kemampuan anak buahnya dalam misi mencatat kemenangan kedua ke atas Australia selepas perlawanan pertama di peringkat kumpulan memihak kepada skuad negara.

Maloney juga memberi bayangan bahawa Firdaus Irman Mohd Fadhil bakal tampil kembali sebagai penjaga gol utama negara dalam aksi final hari ini.

Tetapi perkara itu tidak dipastikan lagi oleh Maloney apabila dua lagi penjaga gol pasukan negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Muhammad Riezman Irfan Mustafah berada dalam keadaan terbaik untuk diturunkan.

“Ketiga tiga penjaga gol berpeluang untuk dipilih bagi aksi final nanti,” katanya kepada BH Sukan.