Malaysia Berita

Kenyataan PFAM, wajar atau sebaliknya?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini membidas kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) semalam mengenai tunggakan gaji pemain.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menyelar pasukan Liga Malaysia yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain, tetapi dibidas kembali oleh FAM hari ini kerana kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh.

Menurut FAM, kenyataan itu langsung tidak bertanggungjawab dalam membantu menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan sama sekali tidak profesional serta bertentangan dengan segala usaha yang telah dilakukan dalam mencari jalan penyelesaian.

Kes-kes yang sudah selesai.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman facebook rasmi FAM, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tampil menjelaskan dengan terperinci segala kes-kes yang telah disebut oleh pihak PFAM.

PFAM dalam kenyataan terdahulu menyebut bahawa Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih mengambil sikap berdiam diri dengan isu tunggakan gaji pemain.

Tetapi di dalam rekod FAM, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak mempunyai sebarang kes bersama FAM mahupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) manakala Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) hanya mempunyai satu kes tunggakan gaji bersama FIFA, namun ianya sudah pun diselesaikan.

Tambah FAM lagi, jika PBNP mempunyai sebarang kes berkaitan tunggakan gaji, ianya mungkin tidak dilaporkan dan masih belum diputuskan oleh keputusan FAM mahupun FIFA.

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) pula dilaporkan sedang berdepan masalah kewangan, tetapi FAM tidak menerima apa-apa laporan terbaharu mengenai kes tunggakan gaji.

Biarpun MUSA mempunyai kes melibatkan G Puaneswaran dan dua bekas pemain import Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon, tetapi ketiga-tiga kes terbabit sedang menunggu keputusan daripada FAM dan badan induk bolasepak dunia.

FAM juga menyatakan sokongan kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang kini berada di bawah pengurusan baharu dan akan memberi bantuan sepenuhnya dalam menyelesaikan isu ini.

Kenyataan PFAM yang menyatakan pasukan-pasukan ini sebagai tidak berperikemanusian adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana segala usaha telah dilakukan oleh FAM dan pasukan-pasukan bertanding untuk menyelesaikan kes ini.

Kes pasukan yang telah ditutup

PFAM juga telah menyentuh isu membabitkan pasukan yang telah ditutup seperti  Terengganu City FC (TCFC), Hanelang FC, Kuantan FA dan Marcerra United yang masih mengambil sikap berdiam diri disebabkan pengurusan yang tidak menentu dan tidak memberi sebarang jaminan kepada pemain.

Menurut Stuart, selaku badan induk bolasepak Malaysia, FAM sentiasa mencari jalan untuk membantu para pemain terbabit dan bagi badan induk bolasepak Malaysia, isu yang diangkat oleh PFAM adalah isu berlainan.

Terbaharu, FAM sudah pun mengadakan pertemuan pada 1 Ogos lalu membabitkan PFAM dan juga para pemain TCFC dan Hanelang FC bagi mencari jalan penyelesaian dan langkah PFAM mengeluarkan kenyataan terbabit telah membelakangkan usaha yang dilakukan FAM.

Menurut FAM, angka RM6.4 juta itu datangnya daripada tunggakan gaji oleh pasukan-pasukan yang telah ditutup dan menurut FIFA, kes-kes membabitkan pasukan berkenaan dianggap tertangguh sehingga jika pasukan-pasukan itu dihidupkan semula.

Di dalam rekod FAM, daripada 306 kes yang dilaporkan, hanya 168 kes iaitu kira-kira 55 peratus kes adalah membabitkan empat kelab yang telah ditutup itu – Marcerra United FC, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC.

Usaha lain dari FAM

FAM sebelum ini telah berjanji akan membantu setiap pasukan dan para pemain yang terlibat dengan menggunakan wang di dalam pegangan FAM, sehingga sekarang FAM telah membayar sebanyak RM 4.011 juta kepada semua pihak yang terbabit.

Dalam masa yang sama, FAM turut menjelaskan bahawa jumlah kes yang dilaporkan harus berkurangan kerana terdapat beberapa pasukan atau kelab yang sudah menyelesaikan tunggakan gaji tetapi tidak dimaklumkan secara rasmi oleh FAM.

FAM tetap menyuarakan komitmen dalam memantau perkembangan kes-kes terbabit dan sentiasa komited untuk terus membantu pemain-pemain yang terlibat.

Kenyataan PFAM, wajar atau sebaliknya?

Tindakan PFAM dalam mengeluarkan kenyataan telah dipersoalkan oleh para pemerhati bola sepak tempatan, tetapi adakah ianya wajar atau membelakangi FAM selaku badan induk bolasepak Malaysia yang sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian?

Isu membabitkan tunggakan gaji bukanlah baru di dalam nafas bola sepak Malaysia, ianya telah mendapat perhatian sejak dahulu lagi.

Melihat daripada kenyataan PFAM, ianya jelas sikap tidak berhati-hati di ambil oleh PFAM dan telah memburukkan lagi isu yang sentiasa hangat di dada akhbar tempatan.

Kenyataan terbabit mampu merencatkan usaha pasukan dalam mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan isu terbabit bagi membantu pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM dalam membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih profesional.

PFAM juga seharusnya turut sama membantu bagi membawa bola sepak tempatan setaraf dengan liga-liga terbaik dunia dalam menjadi lebih profesional dan bukannya mengeluarkan kenyataan seperti ini.

Pelbagai usaha-usaha telah dilakukan oleh FAM dalam membantu para pasukan yang mempunyai masalah kewangan dan diantaranya adalah pertemuan dua mata melibatkan para pemain dan pasukan yang terlibat.

Kenyataan ini juga turut menghalang pasukan-pasukan ini daripada mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat besar dalam membantu menyelesaikan masalah kewangan pasukan.

Tambahan daripada itu, perkongsian maklumat melibatkan angka sebenar mengenai isu tunggakan gaji tidak pernah berlaku dan bagi FAM, laporan yang dikeluarkan PFAM adalah tidak tepat serta mampu untuk memberi pandangan buruk kepada pasukan yang tidak bersalah dan tidak terlibat sama sekali dalam sebarang kes tunggakan gaji.