Malaysia Berita

Nasib Malaysia di kelayakan Piala Dunia 2022 bakal ditentukan hari ini

Undian untuk pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dan Piala Asia AFC 2023 akan diadakan di Ibu Pejabat badan induk bolasepak Asia, AFC, Kuala Lumpur pada hari ini.

40 negara Asia telah dibahagikan kepada lima balang dan kemudiannya akan diundi ke dalam lapan kumpulan dengan lima pasukan dalam satu kumpulan.

Permainan akan diadakan dalam format dua pusingan – halaman sendiri dan halaman lawan – antara 5 September dan 9 Jun, 2020.

Malaysia ditempatkan di Pot 4 bersama Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yemen, Afghanistan, Maldives dan Kuwait,

Sebanyak 12 pasukan, lapan pemenang peringkat kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan maju ke pusingan akhir di China bagi menentukan pasukan mana yang layak ke Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Empat pasukan terbaik pada pusingan kelayakan terakhir akan mendapat tempat di Piala Dunia dan lima pasukan lain akan bermain untuk playoff

Bagi pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe berkata bahawa beliau tidak mahu terlalu fokus dengan siapa skuad negara bakal diundi.

Sebaliknya, beliau mahu para pemain bersedia untuk menerima apa sahaja cabaran yang bakal mereka hadapi.

“Buat saya, jika kita lawan pasukan kuat ia bagus untuk pendedahan dan pengalaman berguna kerana majoriti pemain kita adalah pemain muda. Perlawanan seperti itu berguna dalam mematangkan pemain apabila berdepan lawan kuat.

“Apa yang penting nanti adalah persediaan kita bagi menghadapi aksi kumpulan dan pemain juga mesti sentiasa dalam keadaan bersedia,” katanya kepada Harian Metro.