Malaysia Berita

FAM tarik RM 3 juta dari geran tahunan buat langsai hutang

Pembayaran geran tahunan dan hak penyiaran yang dibuat semalam oleh Malaysian Football League (MFL) kepada semua pasukan bertanding bakal di tolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi melangsaikan hutang dan tunggakan gaji.

Kira-kira RM 3 juta bakal ditolak oleh FAM melibatkan beberapa pasukan yang gagal melunaskan hutang mereka sebelum ini.

Bercakap kepada Berita Harian, Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam berkata penolakan geran tahunan membabitkan beberapa kes yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM sebelum ini melibatkan tunggakan gaji serta denda melibatkan kesalahan tertentu.

Dalam masa yang sama, Stuart turut menjelaskan bahawa pihak FAM telah menghubungi MFL bagi menjelaskan isu terbabit.

Antara kes yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Status dan Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini adalah melibatkan tuntutan B Sathianathan yang meminta Felda menjelaskan baki pembayaran ‘signing fees’ dan tunggakan elaun perumahan.

Selain itu, tunggakan gaji tiga bekas pemain Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin sebanyak RM33,000, Norhafiz Zamani Misbah RM87,500 dan Zairul Fitree Ishak dengan RM52,500.