Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Sanjar sedia bantu TFC benam Kuala Lumpur

Terengganu FC (TFC) bertekad mahu mengutip tiga mata ketika mereka melayan kunjungan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super, malam esok.

Bagi pemain tengah pasukan TFC, Sanjar Shaakhmedov beliau semestinya mahu meledak lagi bagi membolehkan pasukannya mengutip mata penuh ke atas Kuala Lumpur.

Biarpun telah menjaringkan hatrik pada aksi bertemu Melaka United, arkitek tengah TFC tetap merendah diri dan mahu membuktikan kemampuan beliau.

“Mungkin rezeki saya selepas berjaya meledak tiga gol ketika membantu pasukan mengutip satu mata bertemu Melaka tempoh hari di Stadium Hang Jebat apatah lagi ketika itu kami ketinggalan jaringan kepada pasukan lawan.

“Justeru menentang Kuala Lumpur esok, saya tekad akan bekerja keras menghasilkan jaringan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

“Bagaimanapun jaringan bukan impian utama saya pada setiap perlawanan kerana apa yang lebih penting kami berjaya mencatat kemenangan, siapa yang menjaringkan gol itu adalah bonus kepada mereka,” ujar Shaakhmedov kepada BH Sukan.