Malaysia Berita

Aidil Shahrin bakal ubah percaturan hadapi Selangor

Ketiadaan empat pemain utama pasukan Kedah memaksa pengendali pasukan, Aidil Shahrin Sahak menukar percaturan bagi menghadapi Selangor pada pertembungan Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Pemain yang tidak dapat diturunkan adalah Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha dan Syahrul Azwari yang mengalami kecederaan kaki manakala pemain pertahanan daripada Singapura, Shakir Hamzah digantungkan satu perlawanan.

Aidil berkata kepada Berita Harian pemain perlu fokus dan bekerja dalam satu kumpulan jika mahu bangkit daripada kekalahan yang dialami minggu lalu kepada Melaka United.

“Misi kami adalah untuk bangkit bersama dalam memastikan tiga mata dan kami akan berusaha sebagai satu pasukan dalam setiap tindakan seterusnya mengatasi kelemahan yang ada.

“Kami pernah beraksi tanpa Renan Alves yang digantung sebelum ini dan penggantinya Keon (Khairul Helmi) mampu melakukan tugas dengan cemerlang dan saya rasa tindakan yang kita ambil adalah tanggungjawab bersama bukan bersifat individu.

“Ketiadaan beberapa pemain juga bukan perkara baharu seperti ketiadaan Amnar dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan saya yakin semua pemain mampu menterjemahkan kekuatan sebenar apabila mereka beraksi menentang Selangor nanti,” katanya.