Malaysia Berita

Lee Tuck tak sabar nak robek gawang Kedah

Tonggak utama Terengganu FC, Lee Tuck mengakui tidak sabar untuk bertemu Kedah pada saingan Liga Super selepas terpaksa berehat dua perlawanan sebelum ini.

Selepas dikecewakan oleh PKNP FC di laman sendiri Sabtu lalu, beliau menyatakan untuk bangkit membantu pasukan menebus kehampaan pasukannya sebelum ini.

Bercakap kepada Berita Harian, Lee Tuck berkata, “kecederaan bahagian belakang makin baik dan saya tak sabar kembali membantu pasukan mengharungi saingan liga bertemu Kedah malam esok,” katanya mengulas pertemuan TFC dengan Kedah.

“Bagaimanapun saya perlu menunggu keputusan daripada pegawai perubatan dan barisan jurulatih esok, sama ada saya mampu bermain dan benar-benar cergas atau perlu berehat lagi,” katanya.

Lee Tuck yang sedang dalam proses menjadi pemain tempatan telah terlepas dua perlawanan – menentang PKNP FC dan Ultimate FC (Piala FA) – disebabkan mengalami sakit bahagian belakang dan sukar bernafas.

Justeru, beliau mahu rakan sepasukan bangkit ketika bertemu Kedah nanti.

“Kita perlu kembali menang dan harus bermain lebih baik serta bijak berbanding perlawanan terdahulu bagi mengutip mata penuh selepas ketinggalan 11 mata dengan pendahulu liga JDT (Johor Darul Tazim).

“Rakan sepasukan juga harus kekal positif dalam saingan liga yang kian sengit, kami perlu menang ke atas Kedah untuk berada di kedudukan liga lebih baik, tetapi jika tewas pasukan boleh jatuh ke bawah liga kerana tiga mata mampu memberi perbezaan yang besar,” kata Tuck.