Keputusan seri 2-2 dengan PKNS FC menjadikan Perak terus kempunan tiga mata penuh selepas mencatat lima keputusan seri daripada tujuh perlawanan setakat ini.
Perak yang mempunyai pelbagai peluang terhidang gagal memanfaatkan peluang sebaliknya penjaga gol lawan, Muhammad Zarfi Irfan bertindak cemerlang menafikan beberapa cubaan Perak.
Ia termasuk dengan situasi kelam kabut dihadapan gawang PKNS FC pada minit ke-84 yang menyaksikan bola sepakan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi seakan-akan masuk ke gawang gol tetapi berjaya ditolak keluar oleh Muhammad Zarif Irfan.
Memetik kata-kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, “kita tidak nampak (situasi sebenar), jadi tidak boleh pastikan sama ada ia gol atau tidak, hanya pengadil dan pembantu pengadil yang tahu.
“(Bagaimanapun) sudah terlambat (untuk mempertikaikannya) sebab permainan sudah tamat, apapun kita ada banyak peluang untuk memenangi perlawanan ini, tetapi penjaga gol lawan bertindak cemerlang menafikan peluang kami,” katanya.
Begitupun Durakovic tidak mahu menyalahkan barisan pertahan beliau.
“Saya akui sepatutnya dua kali kami patut halang pemain lawan melakukan hantaran tetapi padang basah, agak licin dan gerakan pantas pemain lawan menerusi dua hantaran lintang yang menarik membolehkan gol itu dihasilkan.
“Tetapi, kita berjaya bangkit dan turut menjaringkan dua gol yang cantik, dan sekurang-kurangnya boleh menjaringkan dua gol lagi menerusi Leandro Dos Santos yang terkena palang, selain sepakan Shahrel Fikri yang ditolak keluar.
“Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain, mereka telah menunjukkan aksi menakjubkan malam ini (tadi),” katanya.