Jurulatih skuad bawah 18 (B-18) tahun negara, Bojan Hodak mengambil langkah berdiam diri setelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan kekesalan mereka terhadap kenyataannya sebelum ini.
Hodak sebelum ini dilaporkan telah mengkritik sistem pembangunan bola sepak negara selepas pasukannya tewas dua perlawanan di kejohanan Piala Sanix 2019, Fukuoka, Jepun.
Semalam, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Hodak tidak mencerminkan sikap profesional sebagai seorang jurulatih pasukan kebangsaan.
“Tidak (boleh ulas), kerana saya baca dalam (laporan) media, tiada sesiapa (dari FAM) yang memaklumkan kepada saya,” katanya kepada BH Sukan.
Dalam perkembangan yang sama Hodak turut memberi perkembangan terbaru skuad B-18 yang bakal berdepan Sagan Tosu sekali lagi bagi penentuan tempat ke-11 dan 12, esok.
“Tahun lalu kita menamatkan kejohanan di kedudukan ke-13 dan tahun ini mungkin tempat ke-11 atau 12. Semua pemain mendapat masa permainan cukup dan itu sasaran kita di kejohanan ini.
“Beberapa pemain berdepan kecederaan dan kita akan lihat sepenuhnya siapa yang boleh diturunkan esok,” katanya.