Liga Super Malaysia Berita

PKNS FC Ajar Selangor Main Bola

Pemenang 33 kali Piala Malaysia, pasukan Selangor terus memberikan aksi longlai pada perlawanan ketiga kempen Liga Super musim ini. The Red Giants terkena tamparan mengejut daripada PKNS FC apabila diaibkan 0-4 di halaman sendiri.

Setelah gagal memberi persembahan yang baik pada dua perlawanan awal – Selangor seri kedua-dua perlawanan – pasukan The Red Giants kali ini tumpas dengan anak buah Datuk K. Rajagopal. Beliau berjaya mencipta kemenangan pertama setelah gagal berbuat demikian pada dua perlawanan awal apabila hanya mencatat keputusan satu seri dan satu tewas.

Bagi pasukan B. Sathianathan, penyokong mereka semestinya berpuas hati dengan dua mata pada dua perlawanan awal kerana pasukan baru dibentuk. Tetapi untuk tewas dengan jaringan yang besar dengan pasukan yang dianggap sebagai adik nyata menggusarkan kewibawaan B. Sathianathan selaku jurulatih yang tepat.

Beliau juga masih gagal mempamerkan pasukan yang mampu memberi saingan pada kempen Liga Super apabila berada di tangga kesembilan. Dengan pasukan Perak terbang ke Korea Selatan untuk aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia yang menyebabkan penundaan perlawanan dengan Kuala Lumpur minggu ini. Selangor dilihat selamat kerana masih terkeluar daripada pasukan tiga tercorot.

B. Sathianathan perlu menyelesaikan perkara ini sebelum pertembungan dengan Pahang pada Ahad ini di Stadium Darul Makmur.

Pahang dilihat bakal memberi cabaran yang lebih besar buat Selangor. Mereka selesa berada di tangga kedua dan pemain penyerang mereka, Dickson Nwakaeme adalah antara penyubang terbesar tujuh mata mereka.