Pemain tengah Real Madrid, Isco tidak akan meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan bula depan biarpun beberapa kali disisihkan oleh pengendali baru kelab, Santiago Solari.
Beliau yang kali terakhir beraksi di La Liga adalah ketika Real dimalukan 5-1 oleh Barcelona pada 28 Oktober iaitu aksi terakhir kendalian Julen Lopetegui.
Sejak daripada itu, beliau hanya turun sebanyak dua kali pada aksi kesebelasan utama ketika Madrid membelasah kelab kecil, Melilla 6-1 dalam aksi Copa del Rey dan aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri di mana CSKA Moscow mengejutkan Madrid 3-0.
Solari menafikan yang beliau mempunyai hubungan buruk dengan bintang tengah Real Madrid, Isco dan menghormati pemain itu.
Namun spekulasi terbaru mengatakan bahawa beliau akan melakukan perpindahan pada Januari ini jika gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid.
“Saya tidak berfikir untuk berhijrah pada jendela perpindahan,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.
“Saya sangat gembira, impian saya adalah memenangi seberapa banyak kejuaraan bersama Real Madrid.”